DesiranHati

Hati dan Akal Perlu DiSatukan

Kesombongan dorong seseorang bertindak ikut nafsu, tak hirau perasaan orang lain

KECELARUAN belantara dunia menyesatkan ramai manusia. Potensi akal dan hati kurniaan Allah SWT serta turunnya syariat dibawa Rasul, bagi sebahagian manusia masih belum cukup mengalahkan kebuasan hawa nafsu diri mereka. Ditambah lagi dengan peranan hebat syaitan laknatullah yang tidak akan berganjak seinci dari lubuk hati manusia yang alpa. Hanya satu yang dapat melindungi manusia daripada kejahatan syaitan dan hawa nafsu, iaitu perlindungan Allah.

Ramai orang beriman, apabila lemah imannya diserang pula dengan penyakit rasa hebat diri sehingga dia melupakan campur tangan Allah dalam melindung dirinya daripada kesilapan. Lalu, mula meremehkan orang lain dan semakin gelap matanya melihat hatinya sendiri, dia tidak nampak sebarang noktah hitam pun dalam hatinya.

Terlalu suci dia melihat diri sendiri dan betapa hinanya orang lain pada pandangannya. Penyakit sebegini dinamakan sebagai ghurur iaitu terpesona atau takjub dengan diri hingga pada tahap menghina dan memandang rendah apa saja daripada orang lain.

Tidak sedikit pun tergerak hati mahu memandang daripada sudut pandangan orang lain dan merasai perasaan pihak berlawanan dengan dirinya. Ditutup pula pintu perbincangan, muzakarah dan musyawarah demi mendapat persefahaman baik.

Apabila semangat keegoan, asabiyah dan ghurur merasuk dalam hati seseorang, dia akan berfikir dan bertindak mengikut hawa nafsu. Agama tidak lagi dijadikan rujukan, bahkan tiada sesuatu pun yang dapat menghalang daripada menzalimi orang lain. Kerana mereka yang berpenyakit ghurur ini menganggap apa saja mereka lakukan adalah benar dan tidak sedikit pun perbuatan mereka itu menyalahi agama dan syariat.

Al-Quran menceritakan perangai manusia tertipu dengan kehebatan dirinya sendiri seperti firman Allah bermaksud: “Katakanlah, mahukah Kami beritahukan kepadamu mengenai orang yang paling merugi perbuatannya? Iaitu orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya.” (Surah al-Kahfi ayat 103-104).

Jika penyakit ghurur ini berjangkit kepada pemimpin, dia akan bertindak secara autoritarian, zalim dan kuku besi ke atas orang dipimpinnya. Jika rakyat menghidap penyakit ghurur tentu akan terheret ke dalam gerakan pemberontakan, penderhakaan dan fitnah yang akan membawa huru-hara dalam masyarakat.

Akhlak Islam sejati yang menggesa ke arah ukhuwah dan persefahaman dengan semangat musyawarah iaitu perundingan secara telus dan adil terus diketepi. Akhirnya umat Islam terus menerus dilanda konflik sesama sendiri.

Antara punca seorang mukmin diserang penyakit ghurur ialah:

Mengabaikan muhasabah diri

Setiap insan mengalami perubahan dalam kehidupannya, dulu dia pernah lalai kepada Allah, kemudian bertaubat kembali ke jalan-Nya dan tidak mustahil dia akan mengulangi lagi kejahatan yang ditinggalkannya itu. Tidak ada insan yang maksum kecuali Nabi, maka sebagai insan biasa, dia perlu sentiasa menilai dirinya. Bayangkanlah jika setiap manusia memandang baik apa saja yang dilakukannya tanpa melihat perspektif orang lain, sudah tentu kezaliman yang akan berkuasa.

Sedangkan orang beriman sentiasa menganggap dirinya sebagai orang yang bersalah, banyak kelemahan dan takut tertipu dengan kelebihan Allah kurniakan kepadanya. Seperti mana orang takut ketika Allah menganugerahkan kebesaran dan kekayaan kepadanya, dia takut keselesaan diberikan di dunia ini akan menghalangnya merasai keselesaan di akhirat nanti.

Hatinya terlalu sensitif menghayati firman Allah yang bermaksud: “Barang siapa menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyap di akhirat itu apa yang mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang mereka kerjakan. (Surah Hud ayat 15-16)

Orang beriman menimbang segala sesuatu dengan neraca al-Quran dan al-Sunnah Rasululah SAW. Apa-apa saja tindakan yang dilakukannya sentiasa dirujuk kepada dua kekuatan ini. Kejahilan menguasai petunjuk al-Quran dan al-Sunnah menyebabkan manusia menghalalkan dirinya untuk memutar belit ayat Allah dan Sunnah Rasul-Nya. Mereka mahu mempergunakan Islam untuk mendapatkan habuan. Sebagai mana firman-Nya yang bermaksud: “Dan apabila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya, supaya Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, tiba-tiba sebahagian mereka menolak untuk datang. Tetapi jika keputusan itu untuk memberi hak (kemaslahatan) mereka, mereka datang kepada Rasul dengan patuh.” (Surah al-Nur ayat 48-49).

Apabila pendedahan ilmu amat kurang dan mereka hanya hidup di dalam suasana dan lingkungan sama tanpa pendedahan terhadap dunia luar bersebrangan fahaman dengan mereka menyebabkan mereka terus menerus berada dalam laluan sama. Kesilapan berulang berlaku kerana tidak mahu mengakui aib diri dan menolak pandangan orang lain. Semua yang dilakukannya seolah-olah nampak betul belaka, seolah-olah sesuai dengan al-Quran dan al-Sunnah tetapi pada hakikatnya dia tertipu kerana kesilapannya memahami ayat-ayat Allah, bahkan sebenarnya dia memperguna al-Quran dan al-Sunnah untuk menuruti nafsunya. Muhasabah mesti dilakukan dengan sandaran ilmu dan bimbingan orang lebih alim lagi warak terhadap dunia.

Sesiapa mengabaikan muhasabah diri, maka dia seolah-olah tidak takut dengan hari penghisaban Allah. Berat timbangan amalnya sekali-kali tidak merunsingkan fikirannya. Sebagai mana disebutkan dalam firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya mereka tidak berharap (takut) kepada hisab. Dan mereka mendustakan ayat-ayat kami dengan sesungguh- sungguhnya. Dan segala sesuatu kami catat dalam suatu kitab. Kerana itu rasakan dan Kami sekali-kali tidak akan menambah kepada kamu selain daripada azab.” (Surah Al-Naba ayat 27-30)

Sikap melampau melaksana ajaran Islam

Sikap melampau ini sebenarnya bukan ajaran Islam. Islam bersifat wasatiyah yang berpaksikan keadilan dalam memberi hak kemanusiaan sesuai dengan fitrahnya sebagai manusia yang banyak kelemahan. Di dalam mensyariatkan jihad, ada peruntukan damai dan perundingan, dalam qisas ada diyat yang boleh dibayar jika ahli warisnya bersetuju, dalam perkahwinan ada perceraian jika tidak dapat menyelamatkan iman kedua-dua pasangan.

Dalam jual beli dibolehkan berhutang atas dasar kejujuran. Islam menolak fahaman sufi melampau yang menolak perkahwinan, berlapar sepanjang masa sehingga meninggalkan kerja membina umat, bahkan ada pula orang Islam yang seolah-olah mengharamkan perceraian, mengkelaskan wanita di bawah lelaki padahal Islam nyata mengakui wanita sebagai saudara kandung lelaki, ada mengharamkan makanan dan minuman halal, dalam beribadah pula dicipta cara baru tidak pernah diamalkan Rasulullah, sahabat serta tabi’ tabiin.

Muncul fahaman direka-reka, padahal syariat dibawa Baginda sudah sempurna. Apabila seseorang melampau dalam melaksanakan ajaran Islam sehingga terkeluar dari ajaran sebenar berteraskan al-Quran dan al-Sunnah, boleh jadi sikap melampaunya ini menyebabkan dia membenci orang lain yang tidak sefahaman dan bersikap fanatik buta tanpa ilmu.

Tunduk kepada dunia.

Disebabkan terlalu bercita-cita menggenggam dunia, seseorang terpaksa melakukan penyelewengan dan kezaliman terhadap orang lain. Semua orang sedaya upaya mahu memanfaatkan segala untuk kepentingan diri dan keluarga.

Pencinta dunia ini seolah-olah lupa, hakikat kesenangan itu baginya hanyalah satu permulaan dari episod azab yang akan dilaluinya sepanjang masa hingga berhadapan dengan Allah.

Imam Ahmad meriwayatkan suatu hadis yang bermaksud: “Apabila kamu melihat Alah SWT memberikan harta benda yang disenangi oleh seorang penderhaka maka ketahuilah oleh itu adalah istidraj.”

Beliau kemudian membaca firman Allah dalam surah al-An’am ayat: 44 bermaksud; “Maka tatkala mereka melupakan apa yang diberikan kepada mereka, Kami pun kemudian membukakan pintu kesenangan untuk mereka, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa diberikan kepada mereka, Kami seksa mereka dengan tidak disangka-sangka, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa.”

Semua bentuk kejahatan dan dosa yang dilakukan manusia berpunca daripada perhiasan dan kesenangan dunia haram lagi melampau. Dunia menipu itu akan semakin ganas memporak-porandakan iman di jiwa insan jika ia tidak dikawal oleh iman.

Padahal Rasulullah sudah berwasiat bermaksud: “Kesenangan dunia jika dibandingkan dengan kesenangan akhirat tiada lain kecuali bagaikan seseorang yang memasukkan jari-jemariya ke dalam lautan, kemudian lihatlah berapa banyak ia dapat mengambil air?”(Hadis riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi).

Tiga punca manusia terpesona dengan diri sendiri dan cenderung menghina orang lain sememangnya mesti dihayati setiap saat dalam kehidupan orang beriman, supaya mereka dapat menjaga diri dari penyelewengan yang tidak dijangkakan pada zaman fitnah ini.

1 November 2009 - Posted by | Uncategorized |

Tiada komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: